CARACAS: Sekurang-kurangnya 13 maut di kawasan Andes di Venezuela selepas hujan lebat mengakibatkan banjir lumpur dan runtuhan batu.
Menurut pihak berkuasa, hujan lebat selama beberapa jam di lembah Mocoties, sebuah kawasan pertanian di rantau barat negeri Merida yang juga tarikan pelancong, menyebabkan batu besar bergolek ke kaki gunung dan menghalang jalan.
Gabenor Merida, Ramon Guevara, berkata 11 orang terkorban di perkampungan Tovar dan dua kanak-kanak maut di Pinto Salinas.
Imej yang dikongsi di media sosial menunjukkan arus air yang deras menghanyutkan kenderaan di jalan raya di Tovar.
Ada juga kereta yang tersangkut dalam lumpur atau akar pokok di tengah sampah sarap dan ketulan batu.
Guevara berkata sungai Mocoties sudah melimpahi tebing dan membanjiri Tovar, yang kini terputus bekalan elektrik dan liputan telefon manakala jalan menuju ke pekan berkenaan terhalang sama sekali.
Seorang wartawan di Merida, Jesus Quintero, berkata keadaan sekarang amat mendesak, dramatik dan menyedihkan.
"Bukan senang kalau kita kehilangan segala-galanya, lebih buruk lagi jika kehilangan anggota keluarga, ini adalah ulangan tragedi 2005," katanya kepada AFP.
Pada tahun berkenaan, 41 orang maut manakala 52 dilaporkan hilang selepas hujan lebat di Merida.
Kawasan lain di Venezuela termasuk ibu negara, Caracas, turut dilanda hujan lebat.
Institut meteorologi kerajaan memberi amaran bahawa enam sungai mungkin melimpahi tebing dengan tiga negeri, Bolivar, Guarico dan Zulia, diletakkan di bawah amaran merah. - AFP
0 ulasan:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !