KUALA LUMPUR: Isu eksploitasi kanak-kanak menggunakan internet boleh membarah memandangkan kanak-kanak serta remaja hari ini membesar dengan gajet yang mempunyai akses kepada pelbagai bentuk kandungan tidak sesuai dalam talian.
"Sajian
internet" saban hari kepada kanak-kanak terutamanya sepanjang
pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dibimbangi memberi
implikasi negatif kepada minda serta rohani mereka.
Malahan,
situasi ini turut membebankan ibu bapa dengan tanggungjawab untuk
memastikan
keselamatan anak mereka daripada menjadi mangsa eksploitasi
penjenayah siber.
Dalam
hal ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC)
memainkan peranan untuk membanteras jenayah siber termasuk yang
melibatkan kanak-kanak.
Dalam satu jawapan bertulis kepada Bernama,
MCMC memaklumkan, dalam mewujudkan persekitaran digital selamat untuk
kanak-kanak dalam talian, Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan
Masyarakat (KPWKM) merangka satu Dasar Perlindungan Kanak-Kanak Negara
untuk mencapai matlamat perlindungan kanak-kanak.
Ianya
termasuk merangka inisiatif dan tindakan secara holistik bagi
membendung eksploitasi serta jenayah terhadap kanak-kanak, sama ada
dalam talian mahupun luar talian. Ia juga memastikan setiap kanak-kanak
mendapat perlindungan daripada pengabaian, penderaan, keganasan dan
eksploitasi.
Dalam aspek penguatkuasaan
pula, MCMC sentiasa menjalin kerjasama baik dengan Polis Diraja
Malaysia
(PDRM), khususnya Bahagian Siasatan Seksual, Penderaan dan Kanak-kanak
(D11), KPWKM serta Interpol di peringkat antarabangsa dalam operasi
penguatkuasaan secara bersama.
"Ini
merangkumi aspek penguatkuasaan dan tindakan sekatan terhadap kandungan
atau laman-laman sesawang yang berkaitan pedofilia dan pornografi
kanak-kanak," jelas MCMC.
Selain itu,
MCMC turut menasihati para ibu bapa dan penjaga agar sentiasa mengikuti
perkembangan mengenai risiko dan ancaman dalam talian serta perisian
kawalan yang boleh digunakan untuk memantau aktiviti penggunaan Internet
oleh anak-anak mereka.
Ibu bapa juga
harus membuka ruang berkomunikasi dengan anak-anak serta memberi
kebebasan kepada anak-anak untuk menceritakan pengalaman atau masalah
mereka tanpa dipersalahkan.
Bagi
memastikan kanak-kanak di Malaysia terus dilindungi dalam alam
persekitaran digital, MCMC turut meneliti pelbagai aspek bagi
memperkukuhkan perlindungan kanak-kanak dalam talian.
Ia
termasuk pemantapan inisiatif keterlibatan bersama kementerian, agensi
kerajaan dalam meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai penggunaan
parental control tools oleh ibu bapa atau penjaga.
Agensi
itu juga memantapkan kawal selia serta kerjasama bersama kementerian,
agensi kerajaan dan agensi penguatkuasaan seperti PDRM di samping
menyediakan platform dari aspek tindakan intervensi di peringkat
teknikal dan dasar serta aktiviti penguatkuasaan.
MCMC
juga senantiasa melakukan pemantapan kolaborasi pelbagai fungsi antara
agensi dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dalam meningkatkan kesedaran
masyarakat berhubung keselamatan kanak-kanak di Internet.
"Selain
itu, MCMC turut melaksanakan pemantapan platform advokasi dan kesedaran
sedia ada seperti Klik Dengan Bijak (KDB) dan Malaysian ICT Volunteer
(MIV).
"Ini bagi memupuk budaya
penggunaan aplikasi dan perkhidmatan media baharu, secara bijaksana dan
berhemah serta bekerjasama dengan pelbagai Institut Pengajian Tinggi
(IPT) dalam menjalankan penyelidikan berkenaan dengan keselamatan dan
perlindungan kanak-kanak dalam talian," kata MCMC.
Berhubung
bilangan laman sesawang pornografi kanak-kanak yang disekat setakat
ini, difahamkan antara tahun 2015 sehingga Julai 2021, sejumlah 407
laman berkaitan pedofilia dan pornografi kanak-kanak disekat melalui
kerjasama MCMC, PDRM dan Interpol.
Manakala
bagi peruntukan undang-undang yang ada di negara ini untuk menangani
isu kanak-kanak dikesploitasi menerusi talian adalah Akta Kanak-Kanak
2001, Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, Akta
Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 dan Kanun Keseksaan.
Dalam
pada itu, MCMC menegaskan, langkah mengawal selia akses terhadap
sesuatu kandungan di Internet bukan menjadi tanggungjawab pihak kerajaan
semata-mata tetapi juga melibatkan semua pihak termasuk ibu bapa.
Oleh
yang demikian, MCMC menggerakkan inisiatif berbentuk kesedaran di
seluruh negara seperti KDB dan MIV bagi mendidik serta menggalakkan
masyarakat agar mengamalkan kawalan kendiri, menggunakan Internet secara
berhemah serta memupuk budaya penggunaan media baharu secara bijaksana.
Inisiatif Parental Control Tools
turut digerakkan dengan kerjasama penyedia perkhidmatan Internet (ISP)
bagi mengupayakan pengguna Internet, khususnya golongan ibu bapa, dengan
kemudahan untuk memantau dan menyaring kandungan yang diakses oleh
keluarga serta anak-anak, bagi mengelakkan penularan kandungan yang
tidak diingini.
"Turut dilaksanakan ialah
jalinan kerjasama dengan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa
Bersatu (UNICEF) menerusi penganjuran seminar perlindungan kanak-kanak
dalam talian pada Mac 2021 dalam usaha membina kebingkasan kanak-kanak
ketika dalam talian.
"Jika ada pengguna
yang ternampak sesuatu kurang elok dalam media sosial, maklumkan kepada
pihak berkuasa untuk perhatian mereka. Pengguna juga boleh membantu
dengan memberikan tip penting kepada pihak berkuasa untuk tindakan
susulan," tegas MCMC.
Menurut beliau, psikologi kanak-kanak sentiasa menerima apa sahaja yang dilihat dan didengar dengan pancainderanya.
"Tahap
kebolehan dan kemampuan kognitif menganalisis dan menapis maklumat yang
diterima hasil dari apa yang dilihat dan didengar oleh kanak-kanak
masih rendah.
"Oleh itu, apa jua maklumat
yang dipaparkan media massa yang ada di internet sudah pasti
kanak-kanak tidak boleh membezakan mana yang positif mana yang negatif
tanpa bimbingan orang dewasa," katanya kepada Bernama ketika dihubungi
baru-baru ini.
Mengulas situasi
kanak-kanak zaman kini yang lebih terancam serta mudah untuk
dipergunakan serta dieksploitasi menerusi dalam talian, Norhayati
mengakui kewujudan masalah berkenaan dan bersetuju bahawa sebahagian
besar kehidupan kanak-kanak terancam dengan gajet dan internet.
Beliau
menambah, persekitaran kehidupan kanak-kanak sama ada di rumah, di
sekolah atau di mana-mana pun, sentiasa terdedah dengan gajet dan
internet terutama semasa Pandemik COVID-19, selain sesi Pengajaran dan
Pembelajaran di Rumah (PdPR) pun melalui atas talian.
"Kita
boleh lihat sehingga iklan dan apa juga drama serta media massa
memaparkan kehidupan seolah-olah tidak sempurna tanpa gajet.
"Oleh
yang demikian gambaran di dalam kognitif kanak-kanak hanya tertanam
keseronokan hidup dengan gajet. Bagi kanak-kanak, tanpa gajet kehidupan
ini tidak seronok dan tidak bermakna," katanya.
Norhayati
berkata, berdasarkan pengalaman beliau dalam mengendalikan ketagihan
dalam kanak-kanak semasa sesi kaunseling keluarga, kanak-kanak
mempelajari sikap tantrum (pemarah) dan menangis yang melampau sebagai
cara mereka mahukan keinginan mereka terhadap gajet dipenuhi oleh ibu
bapa.
"Maka hal demikian juga akan
membentuk satu sikap yang berpanjangan iaitu pada satu masa kanak-kanak
ini menjadi remaja dan orang dewasa yang tiada kemahiran mengawal diri
dan sekaligus menjadikan mereka seorang yang panas baran," katanya.
Norhayati
berkata, sama ada kanak-kanak ataupun tidak, kecenderungan akan
dipergunakan atau boleh menjadi mangsa eksploitasi adalah bergantung
kepada di mana kanak-kanak itu berada dan siapa ibu bapa atau penjaga
kanak-kanak tersebut.
"Seperti yang kita
tahu kanak-kanak adalah individu yang lemah dan mudah mendapat simpati
dari orang dewasa terutama masyarakat di Malaysia. Sering kali kita
lihat ramai kanak-kanak sejak sekian lama dijadikan pengemis atau
peminta sedekah, Malah ramai ibu-ibu warga asing menggunakan anak-anak
sebagai alat menagih simpati pada orang ramai.
"Malah
jika kita lihat ada yang diviral melalui internet, kanak-kanak sering
menjadi alat untuk ibu bapa mendapatkan simpati dalam mendapatkan
bantuan terutama dari segi kewangan. Maka apa yang saya hendak katakan
berkemungkinan besar kanak-kanak boleh dieksploitasi atau dipergunakan
memang tinggi," katanya.
Beliau juga
tidak menolak akan berlaku pada masa akan datang pelbagai aktiviti
perniagaan yang tidak sihat menggunakan kanak-kanak.
"Apa
yang membimbangkan mungkin akan berlaku di Malaysia menjual
gambar-gambar kanak-kanak kepada pelaku pornografi yang sudah berlaku di
luar negara.
"Yang membimbangkan saya
juga ada individu perseorangan yang mencari sumber kewangan atas kerja
NGO menggunakan kanak-kanak dalam mendapat simpati. Bentuk eksploitasi
yang lain adalah kanak-kanak ini yang masih tidak dapat berfikir dalam
membezakan dan masih hidup dengan permainan boleh dijadikan duta iklan
dalam menjual alat-akat permainan yang tidak sihat ," katanya.
Pada
masa yang sama, Norhayati berkata, undang-undang seperti Akta
Kanak-kanak 2001 yang memberi fokus kepada keselamatan dan perlindungan
kepada kanak-kanak dari salah laku seksual dan juga aktiviti keganasan
kepada kanak-kanak sewajarnya dilihat semula.
"Perlu
lihat semula bagaimana akta ini turut mampu melindungi dan menjaga
keselamatan kanak-kanak bukan sahaja dari segi keselamatan fizikal
tetapi juga dari segi keselamatan emosi dan keselamatan mental terutama
yang boleh menyebabkan kesihatan mental kanak-kanak terjejas teruk.
"Peranan
dan tanggungjawab ibu bapa kepada perlindungan anak-anak sewajarnya
diperhalusi dengan lebih terperinci terutama dalam pengurusan penggunaan
gajet dan internet anak-anak mereka di rumah.
Penguatkuasaan
undang-undang ke atas ibu bapa yang mengabaikan keselamatan anak-anak
dari segi emosi dan mental seharusnya diambil kira sebagai pengabaian
tanggungjawab ibu bapa kepada anak-anak," katanya.
0 ulasan:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !